Monday, January 04, 2010

Jenis silat

Timbul salah faham di kalangan orang ramai bahawa silat seni seperti silat pulut adalah biasanya dipersembahkan pada majlis rasmi dan majlis keramaian seperti majlis perkahwinan manakala silat dari jenis buah pukul atau seni tempur pula lebih banyak disorokkan dari pandangan ramai atas dasar-dasar memelihara seni, muslihat permainan dan beberapa alasan yang lain. Hakikatnya 'silat pulut' bukanlah satu aliran silat berlainan yang hanya memfokuskan persembahan dan tidak boleh mempertahankan diri. Ia hanyalah terma atau gelaran yang digunakan apabila pesilat merancang acara persembahan mereka di majlis keramaian. Ini termasuklah tari sembah dan pertempuran yang diatur. Sudah tentu rahsia dan muslihat permainan aliran tidak dipertontonkan. Kebiasaannya sekumpulan pesilat menubuhkan kumpulan 'silat pulut' ini untuk membincangkan dan berlatih untuk persembahan-persembahan di majlis keramaian di kejiranan mereka. Inilah asalnya wujud 'aliran' atau 'sekolah silat pulut'. Nama silat pulut ini dikatakan berasal daripada 'pulut pengantin' (majlis-majlis perkahwinan di mana ia selalu dipersembahkan).

Silat sehingga kini sudah banyak yang dipecahkan alirannya, seperti mana pecahnya silat Gayung (Gayung Laksamana, Gayung Laksamana Pahang dan lain-lain lagi). Di Malaysia sahaja terdapat hampir 500 Perguruan Silat yang telah dapat dikesan.

Terdapat juga pendapat yang mengatakan bahawa silat kini semakin tidak mendapat sambutan daripada golongan pemerintah yang sepatutnya memelihara seni ini dengan alasan terdapat unsur-unsur khurafat yang terdapat dalam silat. Dengan kesedaran pembangkitan Islam hari ini, guru-guru aliran telah menentang dan membuang amalan-amalan yang dilihat bertentangan dengan ajaran agama seperti jampi serapah, pemujaan makhluk ghaib tertentu dan sebagainya. Pertubuhan Silat Kebangsaan (PESAKA) sendiri telah banyak membawa usaha pemodenan dalam dunia silat hari ini. Apa yang pasti Silat akan terus menjadi warisan dan lambang jati diri Melayu sedunia.

0 comments:

Post a Comment

 

MY SiTE

http://anakwarisanbangsa.blogspot.com Blog warisan bangsa,bincang apa sahaja mengenai warisan bangsa!

Warisan Hak Bangsa Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template